sempena bulan merdeka ni, saya nak menggambarkan perasaan saya menerusi coretan puisi la. hahahahaha. bosan. lol.
LAYAR BELIA MERDEKA
Pesan seorang ibu
'kemudilah bahtera ini merentas gelora minda,
ada tiga ceritera memberi petunjuk'
I
Lalu tinggi layar diangkat
menyahut seruan bonda
mengemudi sebuah armada
sebagai belia bermaruah
Berlabuh di pinggir hingar
penuh dengan anak muda
meneraju sebuah empayar
berteraskan nusa dan bangsa
Meredah ombak yang rakus
diiringi suria memancar
ada nakhoda yang mulus
memimpin dunia malar
Di balik cetera ini
terutuslah wasiat bernyawa
menebarkan janji-janji
yang jika digapai berat
yang jika digenggam padat
yang jika disimpan erat
menjadi satu mandat
tiada berbagai
Singgahnya disambut alunan merdu
bangga adanya pemuda-pemudi
berjaya menjejak labirin ini
sekian lama tertutup menunggu
pembuka kunci
merintis cahaya
Kata ibu lagi
'seusai persinggahanmu
maka terlerailah kisah pertama'
II
Diajarnya dengan ilmu
tersemat nilai-nilai murni
yang bertunas sejak azali
di pangku keluarga yang paling setia
Tak habis ilmu ditiup
tak habis ilmu disedut
tak guna membuka pandangan
kala minda dilindung tempurung
Ibarat satu simfoni sang maestro
belia adalah sebuah muzik
yang ada nota-notanya
tinggi rendah nadanya
cerminan kebiasaan
jatuh bangun seorang manusia
Sepurnama membina diri
mengenal erti sebuah perjalanan
menggalas misi mencari kehidupan
bersiap-sedia mengorak langkah
Kalam ibu pada suatu ketika
'penuhnya dirimu dengan ilmu pengetahuan
tandanya sedia melihat realiti
terungkaplah sudah kisah kedua'
III
Layar kembali di dada langit
mencecah pelangi yang tersenyum
kelana insan gah, gagah dan tabah berilmu
bakal memangkin kegemilangan sebuah negara
Terdidiknya generasi ini
searus dengan pemodenan pesat
setara dengan harapan menggunung
tak ada jarak memisahkan kelainan bangsa
tak ada atap memayungi perbezaan agama
tak ada lembayung merencatkan bersatunya kaum
Pentingnya ilmu itu
untuk belia dinamika
mengenal erti kehidupan
mengenal makna merdeka
mengenal maksud sebenar perpaduan
Kepulangan yang dinanti
disambut sayu seorang ibu
membena perasaan pilu
mendendami apa itu rindu
pada anak yang telah jauh
menebar keringat mendakap ilmu
menutup cerita ketiga
untuk menjadi belia kebanggaan
IV
Marcapada
para intelektual muda inilah
belia pencetus revolusi minda
warga bervisi inilah
belia pencorak keluarga bahagia
para intelektual muda inilah
belia peneraju masyarakat berbakti
warga berpaksi inilah
belia penggerak wawasan negara
Pesan ibu dahulu
'tanggung tak lengkap tanpa jawab
kasih tak mesra tanpa sayang
jasa takkan megah tanpa bakti
nusa takkan berdiri tanpa bangsa'
Deskripsi inilah
yang terngiang-ngiang di mindaku
untuk ku salurkan kepada anakku
agar diwadahkan kepada cucu cicitku
penerus kemajuan mutlak
Melodi ini kusingkap satu persatu
kendati bunyinya tak sama
namun integriti-integriti inilah
yang membentuk satu integrasi.
Nukilan : AuzanSyaidi